Rabu, 28 Maret 2012

Ariel Peterpan akui menginsafi perilaku silam



BANDUNG: Hampir dua tahun hidup di penjara, vokalis utama kumpulan Peterpan, Nazril 'Ariel' Irham, dapat berasa imannya kembali teguh terhadap kebesaran Allah, katanya.

Akibat terperangkap oleh dorongan nafsu dan kedangkalannya sebelum ini sehingga mengheretnya ke penjara, hukuman yang sedang dijalani memberi ruang lebih luas kepada Ariel untuk berfikir.
Penghibur berusia 32 tahun itu, yang didapati bersalah dalam penghasilan video lucahnya sendiri, berkata hidup dalam tahanan membawa dia menginsafi perilaku silam yang telah memusnahkan kehidupannya.

Oleh itu, kesempatan menghitung hari-hari pembebasannya digunakan sebaik mungkin bagi memperbaiki kesilapan lalu dan mendekatkan diri kepada Allah, kata Ariel.
'Rutin harian saya lebih teratur di sini. Solat saya terjaga, makan minum dan waktu rehat juga mengikut ketetapan penjara. Orang akan kata saya gila jika tidak menyesal dengan apa yang berlaku. Namun, saya melihat ia satu rahmat dan lebih menghargai hidup,' katanya ketika ditemui dalam sesi khas bertemu peminat di Rumah Tahanan Negara Bandung kelmarin.

Penyanyi berasal dari Bandung itu kelihatan lebih berisi dan kemas.
Menurut Ariel, masanya sepanjang dua tahun dalam tahanan lebih banyak diisi dengan aktiviti, termasuk bekerja di firma seni bina.
'Saya sempat menghasilkan pelan bagi bangunan yang kini dibina berhampiran rumah tahanan utama ini,' katanya.
Ariel ditahan ekoran tersebar video lucahnya bersama beberapa artis terkenal Indonesia, seperti Cut Tari dan kekasihnya, Luna Maya.
Penyanyi itu mula menjalani hukuman di pusat tahanan Jun 2010.

Dalam pertemuan itu, Ariel enggan mengulas sebarang gosip mengenai dirinya, termasuk soal hubungannya dengan penyanyi utama kumpulan Geisha, Momo, mahupun dengan Luna,yang dilaporkan media tempatan sudah putus.
Ariel sempat menghasilkan dua lagu di pusat tahanan itu.
'Lagu itu akan dimuatkan dalam album khas menampilkan instrumental lagu popular Peterpan,' katanya.
Mengenai kemungkinan dia keluar dibebaskan pertengahan tahun ini, Ariel berkata dia tidak berani memberi komen mengenainya memandangkan perkara itu pernah ditimbulkan tetapi ia tidak berlaku.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar